Friday, May 10, 2013

bab 201


PRU 13 sudah pun melabuhkan tirainya. Rakyat Malaysia sudah pun memilih kerajaan yang mereka ingini. Akan tetapi masih ada suara-suara nakal yang tidak habis-habis menghentam ketelusan SPR. Wallahua'lam.

Aku ingin mengulas lanjut tentang reaksi sesetengah pemimpin yang tidak boleh terima kekalahan pada PRU 13 kali ini. Tohmahan-tohmahan bertali arus dilemparkan kepada pihak SPR. Mereka kata keputusan PRU 13 ini tidak adil dan tidak sah sebab SPR pilih bulu dalam membahagikan undi. Kalau SPR tidak adil dan tidak telus, kenapa di negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor mereka boleh menang? Dan kenapa mereka tak pertikaikan kemenangan mereka di negeri-negeri tersebut? Itu persoalannya. Kalau mereka kata SPR tipu dalam pengiraan undi, mustahil ianya boleh berlaku sebab apa? Sebab aku pun petugas SPR, aku tahu petugas SPR kira undi macam mana. Agent calon daripada parti masing-masing ada dalam bilik kira undi tu perhatikan petugas SPR bahagikan undi macam mana. Apa? Agent calon tu buta ke tak tengok petugas tu buat kerja? Sebab itu lah agent calon dilantik untuk mengelakkan syak wasangka penipuan dalam pengiraan undi. Sebelum nak fitnah sana sini tolong guna akal untuk bertindak.

Mereka kata SPR kotor sebab mereka kata PR menang dalam kiraan undi pertama, tapi bila calon PKR dari Lembah Pantai iaitu Nurul Izzah tewas dalam kiraan undi pertama dan calon BN iaitu Raja Nong Chik kalah dalam kiraan undi penuh mereka tidak pertikaikan. Setiap kali PRU mereka kata PRU paling kotor. Mereka menang besar di negeri Selangor mereka tak kata pulak SPR tipu? Masing-masing dah besar, masing-masing boleh fikir sendiri.

Tanggal 8 Mei 2013, Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan "Suara Rakyat Suara Keramat" untuk membantah keputusan PRU 13. Tanggal 9 Mei 2013 pula PR di Selangor mengadakan majlis kesyukuran atas kemenangan PR di Selangor pada PRU 13. Aku sebagai rakyat Malaysia yang masih boleh berfikir menggunakan akal, daripada sini kita dah boleh nampak permainan politik kotor yang cuba dimainkan oleh mereka-mereka ini. Kerana apa? Anwar sangat lantang menentang keputusan PRU 13 yang didakwanya tidak adil. Tapi yang peliknya, mereka bantah keputusan ini tidak adil bagi mereka, tapi mereka sendiri iktiraf kemenangan mereka di Penang, Kelantan dan Selangor. Kalau betul Anwar Ibrahim ada prinsip, jangan iktiraf kemenangan PR di 3 buah negeri ini, jangan angkat sumpah bentuk kerajaan di negeri-negeri in. Jaja fitnah sana sini kata PRU 13 tidak adil, tapi kenapa pula dekat negeri yang mereka menang mereka tidak pertikaikan? Sebelum cakap biar pakai akal! Yang pengikut-pengikut dia terlalu taksub dengan dia ni pun meng-ia kan sahaja apa yang dia cakap semuanya betul. Tapi yang pelik, Anwar Ibrahim sahaja yang bantah keputusan PRU 13 ni, pemimpin-pemimpin PR yang lain terima ketentuan Allah SWT. Mungkin beliau tidak senang duduk sebab tak dapat duduk kerusi Perdana Menteri? Wallahua'lam. 

Seperti yang kita ketahui di Selangor, PAS dan DAP memenangi lebih kerusi DUN daripada PKR. Tapi PKR kata kepada PAS jangan masuk campur urusan perlantikan kerusi Menteri Besar. Di sini aku nk bagi tahu, kalau Khalid Ibrahim kekal menjadi MB Selangor, mana keadilan disitu? Kerusi MB harus diberi kepada PAS. PAS usah tunduk dengan permainan politik kotor yang hanya gilakan kuasa.

Jangan guna slogan UBAH kalau diri sendiri tidak berubah. Jangan guna slogan Ini Kali Lah kalau bahasa Melayu pun tak betul. Kali Ini Lah baru betul! Jangan rosakkan bahasa Melayu! Usah heret rakyat dalam kancah politik melampau. Maju kehadapan dengan dasar peduli rakyat bukan membuli rakyat. Tak dinafikan  Melayu mudah termakan dengan kata-kata hasutan berbaur perkauman walaupun ianya ditujukan kepada kaum Melayu itu sendiri. Sedarlah wahai Melayu!

Sejak PRU 1999 hingga PRU 2008, sebanyak 20 hingga 40 petisyen dibuat di mahkamah pada setiap pilihanraya untuk cabar keputusan. Banyak yang gagal untuk kemuka bukti yang sahih. Jika tak puas hati, buat petisyen keputusan pilihanraya dalam tempoh 21 hari selepas diwartakan. Mahkamah wajib selesaikan kes tidak lebih dari 6 bulan. Sampai sekarang belum ada satu kes pengundi hantu berjaya dibuktikan melalui petisyen mahkamah (seperti yang didakwa oleh puak PR) dan ianya sekadar dakwaan jalanan sahaja. Proses demokrasi membenarkan sesiapa sahaja cabar keputusan. Gunakan saluran undang-undang untuk buktikan kesalahan pilihanraya (jika ada).

Akhir kata, ada jurang diantara mereka yang berkata-kata berdasarkan fakta dan mereka yang berkata-kata berdasarkan daripada sumber yang mereka sendiri tidak pasti kerana ketaksuban melampau yang mereka sendiri tidak sedar.


Sekian.

No comments:

Post a Comment